Rabu, 4 November 2009

KAJIAN NOVEL PANAS SALJU

TEMA & PERSOALAN

TEMA

Kasih sayang dan pengorbanan ibu bapa terhadap anak-anaknya.

Kisahnya berkisar kepada keluarga Zulkifli. Anak gadis Zulkifli, Nadhirah yang menghidap penyakit hati dan hempedu memerlukan rawatan secepat mungkin di London. Rawatan ini menelan belanja RM350,000.00. Ibu Nadhirah, Bushrah bersetuju untuk mendermakan sebahagian hatinya kepada Nadhirah. Tan Sri Shamsuddin telah bersetuju membiayai segala kos rawatan Nadhirah dan Bushrah di London. Pembedahan itu berjaya.

PERSOALAN

a) Sabar dan cekal menghadapi cabaran hidup

Zulkifli dan Bushrah begitu sabar dan tabah dalam mencari jalan untuk mengubati Nadhirah yang menghidap penyakit rosak hati dan hempedu.

b) Hidup bermuafakat

Zulkifli dan isterinya sentiasa berbincang dan bermuafakat sebelum melakukan sesuatu perkara. Ia juga ditunjukkan oleh tindakan penduduk Bandar Tun Razak yang mengadakan kenduri doa selamat sebelum Nadhirah berangkat ke London untuk menjalani pembedahan.

Contoh:- (Halaman 145)
Suasana syahdu dan penuh pengharapan begitu ketara di rumah Zulkifli yang dikunjungi ramai Penduduk Jalan Mewah Satu, Bandar Tun Razak. Mereka mengadakan majlis kenduri doa selamat untuk meraikan pemergian Nadhirah ke London beberapa hari lagi. Kesederhanaan majlis kenduri doa selamat dan tahlil begitu terasa. Juadah yang dihidangkan pun ala kadar. Kuih-muih dan bihun goreng disediakan untuk para tamu yang datang.

c) Tanggungjawab terhadap keluarga

Zulkifli berusaha menjalankan tugasnya sebagai suami dan bapa dengan
sebaik mungkin.

Contoh:

i) Sebagai suami, Zulkifli menegur Bushrah kerana enggan menolong pasangan suami isteri berbangsa Sikh yang kemalangan.

ii) Sebagai ayah, Zulkifli sanggup mengorbankan masa dan tenaga untuk keselamatan Nadhirah.

d) Tanggungjawab terhadap masyarakat

Tan Sri Shamsuddin dengan murah hati menghulurkan sumbangan berjumlah RM350 000 kepada keluarga Zulkifli untuk membiayai kos rawatan Nadhirah.

Contoh:-(Halaman 85)
“Sebagai permulaan ambil dulu cek RM50 000 ni untuk tambang dan urusan ke sana. Selebihnya nanti juga akan saya beri dalam bentuk kepada Zulkifli,” kata Tan Sri Shamsuddin. Beliau menunjukkan cek bernilai RM50 000 yang dikeluarkannya serta-merta sebagai bukti kesungguhannya untuk membantu keluarga Zulkifli.

e) Ketinggian nilai budi

Zulkifi dan Bushrah terharu apabila Tan Sri Shamsuddin sanggup menolong keluarganya sedangkan mereka tiada sebarang ikatan kekeluargaan.

f) Kepentingan ilmu dalam kehidupan

Zulkifli dan Muliyadi amat menitikberatkan kepentingan ilmu pengetahuan. Mereka masih menyambung pelajaran ke peringkat Ph.D walaupun sudah berkeluarga dan mempunyai pekerjaan tetap.

Contoh:-(Halaman 21)
“Apa rancangan kau selepas dapat M. A dari Amerika?” tanya Zulkifli.
“Aku sebenarnya teringin menyambung pengajian ke peringkat Ph.D dalam bidang kartun. Aku dah kaji orang Malaysia belum ada yang buat kajian hingga dapat ijazah Doktor Falsafah dalam bidang kartun,” kata Muliyadi.

g) Semangat perpaduan

Ia ditunjukkan semasa kutipan derma dilakukan oleh guru-guru di sekolah tempat Bushrah bekerja. Jiran-jiran di Bandar Tun Razak juga menghulurkan bantuan untuk membantu meringankan beban Zulkifli sekeluarga.

h) Cinta akan negara

Dr.Tan Kai Chah membuat keputusan untuk pulang ke tanah air dan berbakti kepada rakyat Malaysia selepas menimba pengalaman di London.

Contoh:- (Halaman 211)
Dia mengambil keputusan padu untuk pulang ke Semenanjung emas. Sanak-saudaranyamasih ramai di Malaysia. Dia tidak akan kesunyian jika pulang.

i) Semangat setiakawan

Muliyadi sering memberi semangat dan dorongan kepada Zulkifli sekeluarga supaya tabah menghadapi dugaan. Dia juga memberi cadangan supaya memohon bantuan daripada kalangan hartawan untuk membiayai pembedahan Nadhirah.

Contoh:- (Halaman 26)
“Kau tak cuba ke minta derma daripada mana-mana ahli korporat? Orang Melayu yang jadi jutawan dan ahli korporat makin ramai di negara ni,” saran Muliyadi tiba-tiba.
“Segan aku,” jawab Zulkifli bagaikan tenggelam punca.
“Melayu baru tak boleh segan, Zul. Kita mesti berjiwa besar dan bersemangat global. Tak boleh takut-takut lagi. Kalau tak, kita akan terus tertinggal berbanding bangsa asing yang jauh lebih maju. Dalam kes ni kau mesti fikirkan nasib anak kau tu.”

j) Berserah kepada Tuhan

Zulkifli sanggup menanggung sebarang risikopembedahan itu dan menyerahkan nasibnya kepada Tuhan.
Contoh:-(Halaman 98)
“Saya berserah kepada Allah S.W.T Yang Maha Berkuasa agar menyelamatkan isteri saya dalam pembedahan yang bakal dijalaninya di London nanti,” kata Zulkifli yakin dan tenang.


WATAK DAN PERWATAKAN

Watak Utama

a) Zulkifli

1. Suka Menolong
ditunjukan apabila beliau bersikap terbuka membantu pasangan suami isteri sikh ketika dalam kemalangan.
2. Penyayang
ini dapat dilihat apabila Zulkifli sentiasa mengambil berat tentang keluarganya terutama kepada Nadirah yang sakit.
3. Bertanggungjawab
digambarkan apabila beliau sentiasa bertanggungjawab kepada keluarganya.Beliau tidak pernah membiarkan isteri dan anak-anaknya menanggung masalah bersendirian.
4. Tabah dan sabar
Beliau sentiasa tabah dan sabar dengan ujian yang diberikan oleh Allah dan masalah yang dihadapinya.Seperti tabah dengan penderitaan Nadirah dan melihat kematian isterinya.
5. Sentiasa Bersyukur
beliau sentiasa bersyukur kepada Allah dengan nikmat yang diberikan.Ini dapat ditunjukan apabila beliau sentiasa bersyukur diatas budi baik Tan Sri Shamsuddin yang menolong beliau sekeluarga.
6. Suami yang setia
Zulkifli sangat setia terhadap isterinya apabila beliau snggup menduda selepas kematian isterinya.
7. Bercita-cita tinggi
Ini dapat ditunjukan apabila Zulkifli masih meneruskan pelejaranya di USM walaupun sudah berkahwin dan mempunyai anak yang sakit.
8. Tidak Berputus-asa
Zulkifli tidak pernh berputus asa dan berusaha untuk mengubati Nadirah dalam apa cara sekalipun.

b) Bushrah.

1. Menghormati suami
beliau sentiasa menghormati segala keputusan Zulkifli dan mendengar kata Zulkifli.
2. Penyayang dan bertanggungjawab
seperti suaminya,Bushrah sangat menyayangi anak-anaknya dan sentiasa mengambil berat terhadap anak-anaknya terutama Nadirah.
3. Sanggup Berkorban
Bushrah sanggup berkorban demi anaknya (Nadirah) beliau sangup mendermakan sebahagian daripada hatinya kepada Nadirah tanpa memikirkan soal kesihatan dirinya.
4. Tegas
Beliau merupakan seorang yang tegas pendirian,beliau tetap berdegil mahu mendermakan sebahagian hatinya kepada Nadirah walaupun ramai pihak yang membantah.
5. Tabah dan sabar
seperti Zulkifli,juga sentiasa tabah dan sabar menghadapi segala dugaan dan masalah yang menimpa mereka.
6. mementingkan diri,degil( sikap negatif )
Bushrah hanya mementingkan diri dan tidak mahu membantu keluarga sikh ketika dalam kemalangan.pasangan tersebut didak wajar ditolong kerana mereka bukan orang melayu.

c) Nadhirah

1. Kuat Semangat
Nadirah tidak pernah putus asa dalam segala hal walaupun mengidapi penyakit kronik.
Cth: Nadirah tetap bersemangat untuk belajar walaupun sakit.
2. Tabah.
Nadirah sentiasa tabah meneruskan kehidupannya.Cth.: dia tetap tabah meneruskan kehidupannya selepas kematian ibunya.
3. Pemalu
sikap ini dapat digambarkan semasa kenduri,Nadirah berasa malu untuk keluar dan segan untuk bertemu dengan orang ramai,setelah dipujuk baru hendak keluar.
4. Menghormati orang tua
Nadirah sentiasa menghormati orang tuanya dan tidak pernah melukai hati mereka.
5. Cepat Matang
Ini dapat digambarkan apabila cikgunya sendiri melihat dari perwatakan yang cepat matang.
6. Mengenang Budi
Perwatakan ini ditunjukan apabila dia sendiri berjanji akan mengenag budi mereka yang menolongnya.

d) Tan Sri Shamsuddin

1. Prihatin
beliau sentiasa mengambil berat terhadap orang yang memerlukan bantuan.
Cth: membiayai perbelanjaan Nadirah berubat di London.

2. Tidak Meninggi Diri
Beliau tidak pernah meninggi diri dengan kemewahan yang ada.Mereka sentiasa ingat kepada mereka yang susah.


3. Murah hati
Beliau sangup menanggung segala pembelanjaan Nadirah untuk mendapatkan rawatan di London.

4. Sentiasa bersyukur dan bertanggungjawab
walaupun dikurniakan dengan kemewahan,beliau tetap tidak lupa untuk bersyukur kepada Allah serta merasakan dia sebagai orang kaya yang bertanggungjawab untuk menolong orang yang susah.

e) Mohammad Yusoff

1. Sentiasa memberi kerjasama
Beliau sentiasa membarikan kerjasamanya dalam membantu Zulkifli sekeluarga.Beliau sedia memberikan pertolonganya disaat Zulkifli memerlukannya dan tidak membiarkan Zulkifli ketika Zulkifli meminta pertolongan.
2. Suka Membantu
Beliau telah memberikan bantuan kepada Zulkifli dalam menyelesaikan masalahnya dengan menyiarkan masalah Zulkifli di dalam akhbar.

Watak Sampingan

a) Dr. Tan Kai Chia

1. Cinta Akan Tanah Air
walaupun sudah lama berada di luar negara,Beliau tidak pernah lupa akan tanah airnya lebih-lebih lagi setelah melakukan pembedahan keatas Nadirah dan akhirnya,beliau pulang juga ke Malaysia.
2. Teliti
Ketelitian beliau dapat dilihat apabila kebanyakan pembedahan yang dilakukan menghasilkan kejayaan.

b) Muliyadi Mahmood

1. Memiliki semangat setiakawan
Beliau tidak pernah melupakan rakan sekolahnya,Zulkifli walaupun beliau berada di luar negara.
2. Mengambil Berat
sebagai seorang rakan,dia tidak pernah lupa untuk berhubung dengan Zulkifli.
Cth-walaupun berada di luar negara beliau tidak lupa untuk mengutus surat kepada Zulkifli.

3. Baik Hati
Beliau dengan rela hati membawa Zulkifli serta keluarga melawat Kota London.
4. Sentiasa memberi dorongan serta semangat
Beliau sentiasa memberi doronga kepada keluarga Zulkifli dalam melakukan apa jua.Cth.:beliau sentiasa memberi dorongan kepada Nadirah untuk belajar walau dalam apa jua keadaan.

c) Nazli

1. adik kepada Nadirah
2. manja dengan ibunya.

d) Pak Ramli

1. ayah kepada Bushrah
2. seorang ayah yang memahami
beliau tidak pernah menyusahkan anaknya atau meminta duit daripada anaknya kerana dia tahu Bushrah lebih memerlukan wang.
3. Sentiasa memberi dorongan
Pak Ramli sentiasa bersetuju dengan keputusan anaknya dan sentiasa memberikan galakan kepada anaknya.

e) Mak Zaharah (ibu kepada Bushrah)

1. sentiasa membantu anaknya
menolong Bushrah menjaga Nazli semasa Bushrah pergi ke London.

f) Puan Sri Sapura

1. Isteri kepada Tan Sri Shamsuddin
2. Suka menolong,orang
seperti suaminya beliau ingin menolong orang yang di dalam kesusahan dan bersimpati dengan nasib mereka.

g) Cikgu Khairani
1. Bersimpati
beliau sentiasa bersimpati dengan nasib Nadirah dan berusaha membantu Nadirah.
2. Guru yang mengajar Nadirah di rumah ketika cuti sakit.

h) Gunawan

1. Suka menolong
Beliau telah menolong Zulkifli sekeluarga dengan menghantar mereka ke Lapangan Terbang.

i) Dr. Geethan : doktor yang merawat Nadirah di Hospital Kuala Lumpur.

i) Imam Ghazali : Imam masjid yang mengetuai majlis doa selamat di rumah Zulkifli.

j) Cheng Guan : Pemuda Cina yang membantu Zulkili mencari mekanik semasa keretanya rosak.

PLOT

a. PERMULAAN

Pendedahan watak-watak utama iaitu Zulkifli,Busrah dan Nadhirah.Nadhirah,anak Zulkifli dan Busrah.Nadhirah menghidap penyakit kerosakan hati dan hempedu sejak berumur 10 tahun.

b. PERKEMBANGAN

· Doktor mencadangkan Zulkifli membawa anaknya berubat di luar negara di London,tetapi perbelanjaannya amat tinggi.
· Doktor meramalkan Nadhirah dapat hidup 1 atau 2 tahun lagi jika tidak mendapat hati dan hempedu daripada penderma.

c. PERUMITAN

· Zulkifli dan Busrah tiada jalan lain untuk mendapatkan wang selain mendedahkan masalah ini kepada umum.
· Zulkifli berjumpa seorang wartawan Utusan Malaysia.Apabila berita itu tersiar,seluruh penduduk Bandar Tun Razak dan seluruh negara menjadi gempar.
· Tan Sri Shamsudin telah sudi membiayai kos rawatan Nadhirah yang berjumlah RM350 ribu ringgit.

d. PUNCAK

· Berita kesedihan Busrah berkorban diri dengan menderma dan memindahkan separuh daripada hati dan hempedunya menggemparkan seluruh negara.
· Busrah dan Nadhirah menjalani pembedahan berkembar,merupakan satu sejarah di Hospital King’s College London yang berlangsung selama 14 jam.


e. PELERAIAN

· Pembedahan berjaya dan kedua-duanya selamat.
· Selepas 5 tahun Busrah meninggal dunia.
· Beberapa tahun kemudian,Nadhirah tamat belajar dan dia bekerja di Bank Islam.Dia akan mendirikan rumah tangga dengan doctor bedah di Kuala Lumpur.
· Nazli pula berjaya ke asrama penuh di Kuala Kangsar.
· Zulkifli bertekad tidak akan berkahwin lagi tetapi terus melanjutkan pelajaran hingga ke peringkat PH.D.

LATAR

Latar Tempat

1. KUALA LUMPUR

Sewaktu Zulkifli sekeluarga bertolak meninggalkan Kuala Lumpur untuk ke rumah bapa mertuanya di Kampung Sungai Baru, Melaka. Contoh latar tempat yang digambarkan oleh pengarang terdapat dalam petikan tersebut:-

Kereta Datsun 120Y bernombor WAA 6641meluncur laju membelah lebuh raya Utara-Selatan meninggalkan ibu Kota Kuala Lumpur

Kereta yang dipandu oleh Zulkifli itu merentasi daerah-daerah Wilayah persekutuan, Selangor,Negeri Sembilan dan akhirnya tiba di Plaza Tol Seremban. (Halaman 1)

2. Simpang Jalan Melewar dan juga Bandar Simpang Renggam.

3. Selain itu,terdapat banyak tempat lain,contohnyaFelda Ulu Teberau,Johor,di Hospital Kuala Lumpur,Hospital Seremban,rumah Zulkifli di Jalan Mewah Satu,Bandar Tun Razak dan Pejabat Utusan Malaysia.Selain itu,Pejabat Tan Sri Shamsuddin diLembah Keramat,Sekolah Bandar Tun Razak(2),Lapangan Terbang AntarabangsaSubang,Lapangan Terbang Heatthrow,London,Hospital

King's College,Lapangan Terbang Batu Berendam dan sebagainya.Antara latar tempat yang digambarkan oleh pengarang:-

Suasana sayu dan penuh harapan bergitu ketara di rumah Zulkifli yang dikunjungi ramai penduduk Jatan Mewah Satu,Bandar Tun Razak.Mereka mengadakan kenduri doa selamat untuk meraikan pemergian Nazirah ke London beberapa hari lagi.Kesederhanaan kenduri doa selamat itu terasa.Juadah yang dihidang pun ala kadar.Kuih-muih dan bihun gorengdisediakan kepada tetamu yang datang.Zulkifli dan bushrah tidak mampu mengadakan lebih daripada itu,apalagi dengan hidup mereka kian perit ini. (Halaman 145)

Latar Masa

1. Pengarang tidak menyatakan dengan jelas tarikh berlakunyasesuatu peristiwa.Namun bergitu,ia dapat dikatakan bahawa peristiwa itu berlaku pada tahun 1900-an.tempoh keseluruhan cerita ini berlaku semenjak umur Nadirah 14 tahun dan hinggalah dia mendirikan rumah tangga.

2 Peristiwa-peristiwa yang dijalinkan dalam novel ini berlaku pada waktu petang, malam, pagi, dinihari dan tengah hari.Berikut disenaraikan contoh latar masa yang digambarkan oheh pengarang:-

a Petang itu,cuaca agak redup dan tak bergitu panas.Zulkifli singah di tandas untuk membasuh muka dan qada hajat.Anak-anaknya juga begitu. (Halaman 1)
b. Dia sudah menelefon Mohammad Yusof.Wartawan itu meminta datang tepat pukul 11.00 pagi.
c. Zulkifli memasuki Jabatan Pengarang yang sedang sibuk dengan deringan telefon dan ketukan papan komputer. (Halaman 38)
d. Kedua-dua suami isteri hartawan itu itu kemudian senyap kerana leka dengan fikiran masing-masing sambil menikmati makanan tengah hari.Kelazatan lauk masakan isterinya membuat Tan Sri Samsuddin berselera dengan ghairahnya.Dia terasa kenyang dan sendawa.Dalam pada itu kedengaran laungan azan zuhur dari masjid........ (Halaman 72-73)
e. Malam itu malam Jumaat.Malam yang syahdu itu Sudah bersilang seminggu perbincangan yang penuh kedukaan itu berlaku.Dia mengejutkan Zulkifli dan memberitahu keadaan dirinya.Dia merasakan........ (Halaman 232)

Latar Masyarakat

a) Masyarakat yang digambarkan oleh pengarang ialah masyarakat Malaysia yang tinggal di bandar.kampung dan juga di tanah rancangan FELDA. Masyarakat yang tinggal di bandar, contohnya, penduduk yang tinggal di Jalan Mewah Satu,Bandar Tun Razak dan majoritinya berbangsa Melayu dan beragama Islam yang masih mengamalkan semangat kejiranan.Selain itu,mereka mengamalkan budaya dan amalan yang berkaitan tentang keagamaan.

Seramai 40 orang penduduk Jalan Mewah Satu menghadiri kenduri doa selamat dan tahlil itu.Mereka ingin men ziarahi Nadirah sebelum berangkat ke London...... (Halaman 145-146)

b) Masyarakat kampung berkerja sebagai peneroka.Ada yang mengangkut penumpang menyeberangi sungai dengan perahu dan menjadi nelayan.Masyarakat kota pula berkerja sebagai pembantu kerajaan seperti pembantu hospital di Kuala Lumpur,guru sekolah dan berkerja sebagai syarikat pentadbiran akhbar iaitu wartawan.Selain itu,terdapat pula yang menjadi ahli korporat yang berjaya dan juga menjadi doktor,pakar bedah serta pensyarah.

c) Masyarakat kampung yang masih mengamalkan semangat kejiranan dan kunjung -mengunjung ketika kenduri diadakan seperti kenduri kahwin contoh: pengarang menggambarkan keadaan dalam petikan berikut:-

Hari ini Zulkifli meraikan majlis perkahwinanya,Nazirah yang merupakan salah satu daripada 6 orang adiknya.Ramai betul orang yang menghadiri majlis walimatulurus yang permai itu. (Halaman 14)

d. Masyarakat yang tinggal di kawasan bandar dan mengamalkan semagat kejiranan,tolong-menolong dan bersimpati dengan kesusahan yang dihadapi jiran-jiran yang berhampiran.Contohnya digambarkan dalam petikan berikut:-

Dalam perjalanan pulang,hujan turun mencurah-curah.Kereta yang dipandu oleh Zulkifli bergerak perlahan.Hujan petang itu menimbulkan suasana sayu dan syahdu.Jauh di sudut hati Zulkifli dan Bushrah menanam azam untuk membentuk anak-anak mereka menjadi anak Islam yang cemerlang.
(Halaman 54)

e. Masyarakat sekolah atau pendidik dan pelajar digambarkan juga.Masyarakat itu ialah masyarakat di sekolah tempat Bushrah bekerja iaitu Sekolah Bandar Tun Razak (2). Masyarakat sekolah yang perihati,bersimpati dan sanggup menolong keluarga mengalami masalah untuk mengubati Nadirah dengan melancarkan kutipan derma.Pengarang mengambarkan seperti berikut:-
“Cikgu Bushrah,mengapakah awak merahsiakan penderitaan Nadirah daripada pengetahuan kami semua?Kalau diberitahu awal-awal bukankah kami boleh bantu setakat yang terdaya.Sekurang- kurangnya pihak sekolah dapat melancarkan kutipan derma,” terang Cikgu Azahari.
(Halaman 63)

f) Masyarakat korporat yang prihatin,bersimpati dan sanggup meringankan beban yang ditanggung oleh orang lain.Mereka sangup mengorbankan wang ringgit mereka semata-mata untuk menyelamatkan nyawa Nadirah.Pengarang menggambarkan sikap murah hati koprat iaitu Tan Sri Shamsuddin melalui petikan berikut:-

“Sebagai permulaan ambil dulu cek RM50.000 ini untuk tambang dan urusan ke sana.Selebihnya nanti saya akan beri dalam bentuk cek kepada Zulkifli." kata Tan Sri Shamsuddin.Beliau menunjukan cek RM50 ribu yang dikeluarkan semata-mata sebagai bukti kesungguhnya untuk membantu keluarga Zulkifli.
(Halaman 85)

GAYA BAHASA

1. Diksi
· Pemilihan kata yang baik dan boleh memberi gambaran yang jelas bersesuaian dengan jalan cerita.
Contoh ayat halaman 120.
Hati ialah kelenjar paling besar dalam tubuh manusia.
Hati terletak disebelah kanan bahagian atas abdomen.
Ia betul-betul terletak dibawah diafragma.

2. Peribahasa
Contoh ayat halaman 15.
“Saya bab-bab enjin memang buta kayu”
Contoh ayat halaman 131.
“Lain kali hati-hati dengan khabar angin”

3. Bahasa Asing
A. (Inggeris)
Contoh ayat halaman 12.
“Kan minggu lalu keretani abang dah hantar repair dan servis,tak kan rosak lagi?”
Contoh ayat halaman 205.
“Boleh, No problem,”
B. (Arab)
Contoh ayat halaman 133.
“Subhanallah !”

4. Personifikasi
· Digunakan untuk memberi sifat manusia kepada binatang.
Contoh ayat halaman 9.
Burung-burung berkicau riang menyapa kedatangan pagi yang cemerlang.
Contoh ayat halaman 104.
Dalam pada penonton itu,perasaan Busrah terus berperang.

5. Inversi
· Pembalikan kata atau ayat yang songsang.
Contoh ayat halaman 104.
Dalam pada penonton itu,perasaan Busrah terus berperang.
Contoh ayat halaman 213.
Tiba tiba pintu biliknya diketuk orang.

6. Hiperbola
· Melebih-lebihkan sesuatu perkara daripada perkara sebenar. Contoh ayat halaman 13. Matahari terus memancar terik membakar kulit Zulkifli,kulit anak-anak,kulit Busrah dan kulit bumi.

7. Simile
· Perbandingan yang menggunakan seperti,bagai,bahkan.
Contoh ayat halaman 13.
Fikiran seperti terlayang jauh
Contoh ayat halaman 70.
Bagaikan sang penggembara.

8. Metafora
· Perbandingan secara langsung.
Contoh ayat halaman 205.
Mereka tenggelam dalam lautan fikiran masing-masing.

9. Sinkof
Kependekan kata
Contoh ayat halaman 187.
Tak usah bimbang,saya sendiri akan mengawasi kesihatan mereka.

NILAI & PENGAJARAN

Nilai

1) Nilai kemanusiaan

a) Kasih sayang

Kasih sayang tidak semestinya merujuk kepada kasih sayang seorang kepada anaknya, seorang suami kepada isterinya tetapi juga kasih sayang sesama, kasih sayang kepada agama dan tanah air.

b) Simpati dan belas kasihan

Nilai ini terdapat pada semua watak. Semua orang bersimpati kepada Zulkifli sekeluarga. Pertolongan Tan Sri Shamsuddin didorong oleh perasaan simpatinya kepada Nadhirah yang masih kecil.

c) Bersyukur dan mengenang budi

Zulkifli tetap bersyukur kepada Tuhan walaupun diberi percubaan dan dugaan. Zulkifli juga menasihatkan Nadhirah supaya mengenang budi terhadap orang yang banyak membantunya terutamanya Tan Sri Shamsuddin.

d) Bertanggungjawab terhadap keluarga, masyarakat dan tanah air

Zulkifli bertanggungjawab terhadap keluarganya, Tan Sri Shamsuddin pula menunaikan tanggungjawab sebagai anggota masyarakat yang mampu menolong orang yang memerlukan. Tanggungjawab kepada negara pula dapat dilihat pada watak Dr. Tan Kai Chah.

e) Menghormati orang tua

Nilai ini ketara dilihat dalam diri Bushrah dan Zulkifli. Kedua-duanya menghormati ibubapa masing-masing.

f) Gigih dan rajin

Zulkifli dan Muliyadi rajin menulis rencana sebagai kerja sambilan. Mereka juga gigih dan rajin belajar sehingga mencapai ke peringkat Ph.D.

2) Nilai kemasyarakatan

a) Bekerjasama

Sikap ini dapat dilihat dalam majlis perkahwinan di kampung dan majlis kenduri doa selamat di rumah Zulkifli.

b) Sikap kejiranan

Nilai ini digambarkan di tempat tinggal Zulkifli melalui tindakan mereka membantunya mengikut keupayaan masing-masing.

c) Masyarakat penyayang

Masyarakat Malaysia amat prihatin terhadap berita penyakit Nadhirah. Tanpa pertolongan masyarakat, sukar untuk Nadhirah diubati.

d) Tolong menolong

Zulkifli menolong pasangan Sikh yang ditimpa kemalangan, manakala seorang pemuda Cina membantunya ketika kereta mereka rosak dalam perjalanan ke Ulu Tebrau.


Pengajaran

a) Kita mesti tabah dan sentiasa bersabar apabila berhadapan dengan sesuatu dugaan

Contoh:-
Zulkifli diduga dengan dugaan yang berat seperti Nadhirah sakit teruk, bapa mentuanya kehilangan pekerjaan dan Bushrah meninggal dunia. Tetapi semua itu dihadapi dengan tabah dan sabar oleh Zulkifli.

b) Kita perlu saling bantu-membantu antara satu sama lain terutamanya kepada orang yang dalam kesusahan

Contoh:-
Zulkifli sanggup mengetepikan kepentingan diri bagi membantu mangsa kemalangan yang masih bernyawa dengan harapan mereka akan hidup. Hal yang sama juga turut dilakukan oleh Tan Sri Shamsuddin kepada keluarga Zulkifli.

c) Kita hendaklah bersimpati atau belas kasihan terhadap golongan yang memerlukan pertolongan
Contoh:-
Kerana perasaan simpati Tan Sri Shamsuddin, masalah kos rawatan Nadhirah telah dapat diselesaikan.

d) Kita haruslah sentiasa mengenang jasa dan pengorbanan kedua ibubapa

Contoh:-
Nadhirah tetap mengenang jasa dan pengorbanan ibu dan bapanya yang telah banyak berusaha untuk dirinya supaya dia dapat meneruskan kehidupan ini.

e) Kita haruslah gigih berusaha untuk mencapai kejayaan yang cemerlang

Contoh:-
Zulkifli telah menyambung pengajiannya di USM dan hasil usaha gigihnya, beliau berjaya mendapat Ijazah Sarjana.

f) Jangan cepat berputus asa apabila berhadapan dengan dugaan dan kegagalan

Contoh:-
Nadhirah pernah menjalani pembedahan di Hospital Kuala Lumpur tetapi penyakitnya tidak juga sembuh. Tanpa berputus asa, Zulkifli berusaha mencari belanja untuk membiayai kos pembedahan yang akan Nadhirah jalani di London.




~SEKIAN ~




Tugasan disempurnakan oleh:
Pelajar-pelajar tingkatan 3A1

SMK Gedangsa, Kuala Kubu Bharu,
Hulu Selangor, Selangor.
2003.






2 ulasan:

  1. Beberapa buah buku rujukan komsas pmr digunakan sebagai rujukan oleh murid-murid untuk menyiapkan tugasan ini.

    BalasPadam
  2. wahhhh...cikgu...sy duk tgk2 yg part last sekali 2 tulis tugasan disempurnakan oleh pelajar 3A1 tahun 2003, maknanye, kelas saya la 2.hehehe..terkenang jap zaman sekolah.hmm..tak sangka pulak cikgu duk simpan lg keja2 kitorg..terharu pulak keja kitorg jd antara bhn rujukan kat blog ni..

    BalasPadam